wahai kawan2 ..pnjam  kn beberape minit 4 read this article
w'pun nie 'copy n paste' tp  amat3 bermakna .
"Mana Mak?'
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik  bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur  tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya  Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan  Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap  lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab  soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak  jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan  bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke  rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah  tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju  barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah  tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh  yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa  menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook.  Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di  mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan  hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak  Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba  adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti  nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari  sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka  di depan pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat  nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah  apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua  anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
Sekarang  anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana  Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin  hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu  menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak  masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu  mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan  memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari  kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan  plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak  Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak  berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun  yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh  perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh  kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya  Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala  anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak  takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling  gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka  warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa  naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah  tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab.  Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke  rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas  meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk  anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak  malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup  membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari  Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah  budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak  sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil  dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat.  Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan.  Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar  baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah  iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak  seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah  bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak  melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih  mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap  begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke  rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak  rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput.  Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda  kata semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak  yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit  kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak  akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang  menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput  Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak  ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita  mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan  masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita.  Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau  kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat  bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along  dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing  sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati  anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh  ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh,  Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab,  “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik  tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada  di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam  isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur  Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh  bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu  memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa  anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh,  Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh,  Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa  ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata  dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak  pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu  ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana  Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan  ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin  dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada  setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak  tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah  sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak  perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik ,  "Mana mak?" "
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah  pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah  hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian.  Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan  Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu.  Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun."  Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak  mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan  "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup  seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata  Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa  kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya.  Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa  kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa  berjawab???